KOTA TINGGI: Malaysia memohon Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menilai semula kedudukan anggota Batalion Malaysia (MALBATT) di Lubnan susulan konflik yang semakin memuncak antara Israel dan Hezbollah.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, situasi semasa yang bertukar kepada peperangan terbuka tidak lagi selari dengan mandat misi pengaman United Nations Interim Force in Lebanon.
Menurutnya, MALBATT dihantar sebagai pasukan pengaman, bukan untuk berdepan konflik bersenjata, apatah lagi dengan kelengkapan yang tidak sesuai untuk medan perang.
Beliau memaklumkan permohonan telah dikemukakan oleh Kementerian Luar dan keputusan kini terletak di tangan PBB, sama ada anggota dikekalkan atau dibawa pulang.
Dalam perkembangan sama, lebih 500 anggota MALBATT kini diarahkan kekal berlindung di bunker dan tidak menjalankan rondaan demi keselamatan.










