KUALA LUMPUR: Sekumpulan aktivis politik dan NGO hari ini mengadakan piket di hadapan pejabat Invoke Solutions milik Datuk Seri Rafizi Ramli, menuntut Ahli Parlimen Pandan itu mengundurkan diri sepenuhnya daripada dunia politik.
Perhimpunan tersebut diketuai aktivis, Faizan Mohd Nor, bersama pengasas PKR, Ng Lum Yong, yang turut menyerahkan memorandum menggesa Rafizi bersara.
Faizan mendakwa Rafizi gagal sebagai pemimpin dan bekas Menteri Ekonomi, justeru perlu bertanggungjawab demi kestabilan negara.
“Cukup-cukuplah porak-perandakan negara ini demi cita-cita politik kamu, Rafizi. Selepas gagal tunaikan janji PRU15 dan tidak memajukan ekonomi, kamu perlu bersara,” katanya.
Beliau turut menyifatkan Rafizi sebagai liabiliti kepada parti selain mengulang kritikan bahawa janji-janji sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 tidak ditunaikan.
Sementara itu, Ng Lum Yong mendakwa Rafizi merupakan antara menteri paling gagal, dengan mendakwa tiada reformasi ekonomi signifikan dilaksanakan sepanjang tempohnya berkhidmat.
Faizan menegaskan, gerakan itu tidak akan terhenti di situ dan pihaknya akan meneruskan tekanan sehingga Rafizi berundur, sama ada secara sukarela atau melalui penolakan pengundi.










