KUALA LUMPUR: Kerajaan menegaskan tidak akan mencampuri insiden kekecohan yang berlaku ketika sesi ucapan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
Jurucakap kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, setakat ini tiada laporan rasmi diterima berhubung kejadian tersebut dan kerajaan hanya merujuk kepada maklumat daripada laporan media.
Menurut beliau, sebarang tindakan lanjut bergantung kepada hasil siasatan pihak berkuasa sekiranya wujud pelanggaran undang-undang.
“Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk meneliti dan menentukan tindakan sewajarnya,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Kabinet, hari ini.
Semalam, suasana di World Trade Centre Kuala Lumpur bertukar tegang apabila ucapan Azam secara tiba-tiba diganggu dua lelaki yang membawa sepanduk.
Salah seorang daripadanya dilaporkan menjerit sebelum meluru ke arah pentas, mencetuskan kekecohan dalam kalangan hadirin.
Bagaimanapun, situasi berjaya dikawal dengan pantas apabila pasukan keselamatan bertindak segera mengiringi individu terbabit keluar dari dewan.










