Rafizi: “Saifuddin Beri Bayangan Ada Dakwaan Saya Terima Rasuah RM500,000”

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Rafizi Ramli menafikan dakwaan menerima wang RM500,000 berkaitan syarikat NexG, sambil menyifatkan tuduhan tersebut sebagai fitnah yang sengaja direka.

Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa isu berkenaan pernah dibayangkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dalam satu pertemuan pada 2 Disember 2025, termasuk amaran bahawa ia boleh memalukan beliau jika didedahkan.

‘’Saya cakap: “mana ada orang bagi rasuah keluarkan resit? Itu tak cerdik namanya”. Saya juga cakap: “bayaran RM500,000 ini dan invois adalah daripada Harizan (Mohd Hafizan Haris) dan GFIS. Saya tak pernah kenal mereka ini,’’ katanya dalam video terbaru beliau melalui Facebook.

Dakwaan itu timbul susulan laporan sebuah portal yang mendakwa Ketua Pegawai Eksekutif NexG, Datuk Abu Hanifah Nordin, menyalurkan dana kepada individu bernama Mohd Hafizan melalui syarikat GFIS bagi tujuan kempen pemilihan PKR.

Wang tersebut kononnya sebagai balasan untuk membantu melanjutkan kontrak pasport melibatkan Datasonic.

Bagaimanapun, Rafizi menegaskan beliau tidak pernah mengenali atau berjumpa dengan mana-mana individu yang disebut, selain menolak keseluruhan kronologi dakwaan yang disifatkan tidak logik.

Sebelum ini Hanifah didakwa menyalurkan RM500,000 kepada Mohd Hafizan melalui syarikat GFIS (M) Sdn Bhd, melibatkan RM200,000 menerusi transaksi bank dan RM300,000 secara tunai.

Wang itu didakwa sebagai balasan bagi membantu Rafizi mendapatkan lanjutan kontrak pasport untuk Datasonic daripada 12 bulan kepada lima tahun, selain dikaitkan dengan usaha menjayakan projek Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di bawah Kementerian Ekonomi.

Bagaimanapun, Rafizi menolak sepenuhnya dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai fitnah.

‘’Seumur hidup saya tidak pernah kenal atau berjumpa dengan Harizan ini.

’’Kalau NexG telah membayar RM500,000 kepada Harizan, GFIS atau sesiapa, maka siasatlah Harizan, GFIS hatta bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Dato’ Yatimah (Sarjiman) yang disebut-sebut dalam cerita ini.

‘’Besar kemungkinan, ini cerita biasa dari Putrajaya, ada ahli perniagaan cuba cari jalan, ada scammer yang mengaku macam-macam,’’ katanya.

Beliau turut menggesa pihak berkuasa menyiasat individu yang dinamakan jika benar transaksi itu berlaku, dan memaklumkan akan memperincikan isu tersebut dalam siaran Podcast YBM Episod 43, Jumaat ini.

BBerkaitan

Latest articles