KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima menghadap Malik Yatam, bekas banduan yang mencipta sejarah sebagai individu pertama memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD) ketika menjalani hukuman penjara, dalam satu pertemuan penuh emosi yang berlangsung di ibu kota, semalam.
Menurut hantaran di Facebook rasmi Selangor Royal Office, pertemuan tersebut merupakan yang pertama seumpamanya, membabitkan baginda dengan bekas banduan yang menerima pengampunan Diraja sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor pada 2024.
Dalam pertemuan hampir sejam itu, Sultan Sharafuddin bertanyakan perkembangan kehidupan Malik selepas dibebaskan dari Penjara Kajang pada Disember tahun lalu, selain meneliti perancangan masa hadapannya selepas melalui perjalanan hidup yang panjang dan mencabar.
Baginda turut menitipkan nasihat agar Malik terus menjaga maruah diri serta nama baik keluarga, di samping kekal bersemangat untuk membina kehidupan yang lebih baik selepas menikmati kebebasan.
“Pertemuan berlangsung dalam suasana yang hening, sedih dan pilu,” menurut hantaran berkenaan, yang turut memaparkan detik menyentuh perasaan apabila Malik bersalaman dan memeluk Sultan Sharafuddin sambil mengesat air mata, sebelum ditenangkan oleh baginda.
Sultan Sharafuddin turut menzahirkan rasa terharu terhadap kecekalan dan perubahan diri Malik, serta menegaskan bahawa bekas banduan itu wajar diberikan peluang kedua untuk meneruskan kehidupan.
Menurut hantaran sama, pengampunan tersebut dipertimbangkan secara menyeluruh oleh baginda selepas mengambil kira semua faktor yang dikemukakan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 24 November 2024.
Malik, kini berusia 39 tahun, menjalani hukuman Tahanan Limpah Sultan (LTS) selama 24 tahun, satu hukuman tanpa tarikh pembebasan selepas disabitkan kesalahan ketika masih di bawah umur.
Beliau tidak dijatuhi hukuman mati kerana melakukan kesalahan itu ketika berusia 14 tahun.
Ditahan sejak 2001, Malik membuktikan keazaman luar biasa apabila berjaya menamatkan pengajian hingga ke peringkat PhD dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Terbuka Malaysia (OUM), hasil usaha gigih melanjutkan pelajaran sepanjang tempoh pemenjaraannya di Penjara Kajang.










