KUALA LUMPUR: Ketika Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berdepan sorotan awam susulan pelbagai isu yang mencalar imej institusi pertahanan negara, Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke-24, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman tampil memberi komitmen tegas untuk melaksanakan pembersihan secara menyeluruh demi mengembalikan kepercayaan rakyat.
Beliau menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran tata kelola, sama ada membabitkan pengurusan sumber manusia, perancangan pembangunan, urusan kewangan mahupun perolehan dalam ATM dan Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Menurut Malek Razak, sudah tiba masanya ATM bangkit semula bukan sekadar memperbetulkan persepsi awam, tetapi menilai dan membaiki kelemahan dalaman yang wujud agar organisasi itu kembali stabil, kukuh dan bersedia menghadapi cabaran keselamatan semasa.
“Itu adalah janji saya dan seluruh kepimpinan ATM. Setiap apa yang berlaku mengajar kita untuk bermuhasabah, sama ada sebagai individu mahupun organisasi, supaya kita dapat memulihkan keadaan dan menjadi lebih bersedia,” katanya pada sidang media, hari ini.
Beliau berkata, ATM memiliki daya tahan yang tinggi dan berupaya bangkit kembali sekiranya setiap kelemahan ditangani secara berani dan berprinsip.
“Sebagai sebuah organisasi yang berdaya tahan, kita mampu bangkit semula. Inilah masanya untuk kita menguruskan segala isu yang berlaku dengan lebih baik dan berkesan,” ujarnya.
Terdahulu, Malek Razak secara rasmi memulakan tugas sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-24 di Wisma Pertahanan hari ini.
Beliau tiba kira-kira jam 2.15 petang sebelum menerima tabik hormat serta memeriksa Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.
Mengakui cabaran besar yang menanti dalam suasana ATM kini berdepan pelbagai isu, Malek Razak bagaimanapun optimis mampu melaksanakan amanah tersebut dengan sokongan padu warga pertahanan serta kepercayaan yang diberikan kepadanya.
“Kita tidak melupakan apa yang telah berlaku, sebaliknya menguruskannya dengan baik. Dalam era pendedahan media sosial dan laporan sensasi, cabarannya besar, namun kita mempunyai kaedah untuk menanganinya,” katanya.
Beliau turut menzahirkan junjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, atas perkenan melantik beliau menerajui ATM, dan memaklumkan hala tuju serta perancangan ATM akan diperincikan menerusi amanat khas dalam masa terdekat.










