KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mengkritik cadangan mengkaji pelaksanaan Pilihan Raya Datuk Bandar dengan menyifatkannya sebagai langkah cetek dan tersasar yang tidak menangani punca sebenar kelemahan pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, usaha menjadikan pemilihan Datuk Bandar melalui pilihan raya sebagai solusi utama mencerminkan kegagalan kerajaan memahami isu tadbir urus bandar secara menyeluruh.
Menurut beliau, tahap kecekapan dan keberkesanan DBKL tidak bergantung kepada kaedah pelantikan Datuk Bandar semata-mata, sebaliknya ditentukan oleh kekuatan institusi, sistem pengurusan serta budaya kerja yang berintegriti.
Katanya, jika kerajaan benar-benar komited untuk memperbaiki prestasi DBKL, fokus seharusnya diberikan kepada pembaharuan struktur pentadbiran, kualiti kepimpinan, pengurusan sumber manusia serta kelemahan koordinasi antara agensi.
Takiyuddin turut memberi amaran bahawa cadangan itu berisiko mewujudkan harapan palsu kepada rakyat dan menggesa Kementerian Wilayah Persekutuan menghentikan pendekatan simbolik, sebaliknya melaksanakan reformasi institusi yang konkrit dan berimpak tinggi.










