ALOR SETAR: Misteri pembunuhan seorang wanita yang ditemui mati dengan tiga kesan tikaman di sebuah rumah di Jalan Tanjung Bendahara mula terungkai apabila polis menahan seorang lelaki dipercayai anak kandung mangsa, malam semalam.
Suspek berusia 28 tahun itu diberkas ketika menaiki sebuah bas persiaran yang dalam perjalanan ke Selangor, hasil operasi Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kedah dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, tangkapan dibuat sekitar jam 8.34 malam di Kilometer 441.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan.
“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau, namun ujian saringan awal air kencing menunjukkan keputusan negatif,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 9 Februari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Syed Basri menegaskan orang awam dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kes berkenaan kerana ia boleh menjejaskan siasatan.
“Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mana-mana individu yang menyebarkan maklumat palsu atau tidak benar,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Pusat Kawalan Daerah (DCC) IPD Kota Setar menerima panggilan daripada seorang anak mangsa sekitar jam 8.45 pagi yang memaklumkan ibunya ditemui tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di kediaman mereka.
Mangsa berusia 52 tahun dipercayai ditikam di beberapa bahagian badan serta mengalami kecederaan di kepala. Kejadian disyaki berlaku pada awal pagi sebelum salah seorang daripada enam anak mangsa menemui wanita itu dalam keadaan tidak bernyawa.
Setakat ini, motif kejadian masih dalam siasatan polis.










