KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, melontarkan peringatan sinis kepada penggantinya, Akmal Nasir, sambil mengingatkan bahawa jawatan menteri bukan anugerah kekal, sebaliknya boleh bertukar menjadi perangkap jika disalah guna.
Dalam satu hantaran di Facebook, Rafizi menegaskan pangkat dan kuasa hanyalah sementara, justeru sesiapa yang diberi amanah perlu bekerja sepenuh hati.
Katanya, pujian dan cercaan manusia tidak membawa sebarang nilai di akhirat, sebaliknya keikhlasan dan hasil kerja yang akan menjadi ukuran sebenar.
“Jawatan menteri dan timbalan menteri itu satu jerat. Kalau culas dan tidak amanah, kitalah yang terjerat. Kalau rajin dan ikhlas, jerat itu jadi jalan pahala,” katanya, dipercayai menyindir budaya selesa dengan kuasa.
Dalam masa sama, Rafizi tetap menyatakan sokongan kepada Akmal yang juga bekas pegawainya, dengan menyifatkan Ahli Parlimen Johor Bahru itu sebagai seorang yang gigih dan rajin sejak mereka bekerja bersama pada 2009.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Syed Ibrahim Syed Noh, Ahli Parlimen Ledang, atas pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar.
Akmal dan Syed Ibrahim merupakan tokoh yang sehaluan dengan Rafizi dalam pemilihan PKR pada Mei lalu.
Bagaimanapu. pemilihan itu menyaksikan Rafizi tewas jawatan Timbalan Presiden kepada Nurul Izzah Anwar.
Akmal sendiri gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR Johor Bahru, namun tetap dipilih menganggotai Majlis Pimpinan Pusat PKR bersama Syed Ibrahim.
Rafizi bagaimanapun enggan mengulas panjang mengenai pelantikan Syed Ibrahim, sebaliknya memberi bayangan akan membuka cerita lanjut dalam podcast Yang Berhenti Menteri yang dijadualkan malam esok.
Dalam kalangan penganalisis politik, pelantikan Akmal dan Syed Ibrahim dilihat sebagai langkah strategik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi mengekalkan keseimbangan kuasa dalam PKR.










