KUALA LUMPUR: Kerajaan memandang serius tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan video di media sosial yang menghasut umat Islam supaya mengeluarkan simpanan mereka dari Tabung Haji (TH).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, perbuatan itu bukan sahaja cubaan mencemarkan imej TH, malah berunsur hasutan yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi penting umat Islam di negara ini.
“Hasutan ini tidak memberi manfaat atau kebaikan kepada usaha mempertahankan Tabung Haji. Kerajaan sedang meneliti perkara ini dan tindakan telah diambil, termasuk aduan serta laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Selain itu, laporan polis juga dibuat terhadap beberapa video yang jelas menjurus ke arah hasutan. Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Isam Mohd Isa (BN–Tampin) yang meminta penjelasan mengenai langkah kerajaan mengekang cubaan membina naratif jahat terhadap TH di media sosial.
Mengulas mengenai konsortium perunding yang dilantik bagi projek penjenamaan semula TH, Mohd Na’im menegaskan ia dibuat melalui proses rundingan terus yang ketat dan dibenarkan mengikut peraturan perolehan.
Katanya, pemilihan konsortium itu melalui penilaian menyeluruh dari aspek teknikal, komersial, rundingan harga serta kelulusan Jawatankuasa Tender dan Lembaga Pengarah TH, sekali gus menjamin ketelusan dan akauntabiliti.
“Saya meletakkan sepenuh kepercayaan kepada kepimpinan Pengerusi, Tan Sri Rashid Hussain dalam melaksanakan penjenamaan semula TH yang bertujuan memberi nafas baharu kepada institusi ini,” katanya.