Naim: Rundingan Terus TH Tak Jejas Dasar, Pilihan Konsortium Ada Justifikasi

KUALA LUMPUR: Pelantikan konsortium gabungan syarikat perunding oleh Tabung Haji (TH) melalui kaedah rundingan terus tidak melibatkan urusan dasar institusi kewangan umat Islam itu, sebaliknya hanya membabitkan pelaksanaan teknikal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar berkata, dasar dan keputusan akhir tetap ditentukan kepimpinan TH yang diketuai Pengerusinya, Tan Sri Rashid Hussain.

“Rundingan terus dibuat secara ketat dengan memilih konsortium perunding berpengalaman mengikut keperluan khusus, terutama bagi menyusun semula strategi fungsi tabungan dan menangani isu simpanan rendah dalam kalangan pendeposit,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary mengenai amalan perolehan secara runding terus di TH, Naim menjelaskan kaedah itu dibenarkan untuk perkhidmatan strategik yang memerlukan kepakaran khusus dan tidak sesuai melalui tender biasa.

Menurutnya, pemilihan konsortium dilakukan melalui proses tadbir urus ketat, termasuk penilaian teknikal dan komersial, rundingan harga, serta kelulusan Jawatankuasa Tender dan Lembaga Pengarah.

“TH mendapat kelulusan Kementerian Kewangan untuk dikecualikan daripada proses perolehan kerajaan. Kuasa melantik diberikan sepenuhnya kepada Lembaga Pengarah, dengan kebanyakan perolehan masih dibuat melalui tender terbuka,” katanya.

Beliau turut mengingatkan supaya isu pelantikan konsortium perunding bukan dijadikan polemik hingga menjejaskan keyakinan rakyat terhadap TH.

“Jika rakyat hilang keyakinan dan mengeluarkan simpanan, kesannya besar bukan sahaja kepada TH tetapi juga kepada umat Islam sendiri, kerana simpanan inilah yang menjadi jalan untuk mereka menunaikan ibadah haji,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles