Pelajar Universiti Maut Jatuh Tingkat 22, Bapa Dakwa Anak Mangsa Buli Rakan

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar universiti swasta ditemui maut selepas terjatuh dari tingkat 22 sebuah kondominium di Setapak, Rabu lalu, dengan keluarganya mendakwa kejadian berpunca daripada perbuatan buli mental oleh rakan-rakan.

Mangsa berusia 22 tahun itu merupakan anak kedua daripada tiga beradik.

Menurut bapanya, Jeff Ho, 50-an, beliau dimaklumkan pengurusan kondominium kira-kira jam 8.45 pagi bahawa anaknya meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh.

“Saya bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan. Kemudian, rakan-rakannya memberitahu anak saya mengalami tekanan akibat dibuli secara mental kerana perselisihan pendapat,” katanya dipetik Kosmo! ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju.

Jeff mendakwa, mangsa pernah berkongsi masalah itu dengan kakak serta adiknya, malah cuba terjun minggu lalu tetapi berjaya diselamatkan oleh pengawal keselamatan kondominium.

“Pihak berkuasa perlu memandang serius isu ini supaya tiada lagi nyawa terkorban akibat dibuli,” tegasnya.

Difahamkan, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat.

BBerkaitan

Latest articles