KUALA LUMPUR: Dua pegawai imigresen bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang direman bagi membantu siasatan kes menerima rasuah RM400,000 untuk membenarkan warga asing dibawa masuk melalui pintu masuk negara tanpa pemeriksaan pihak berkuasa.
Perintah reman terhadap kedua-dua suspek selama tujuh hari hingga 26 Ogos ini dikeluarkan Majistret Wahidah Zainal Abidin selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Kuantan hari ini.
Menurut sumber, kedua-dua lelaki berusia lingkungan 40-an yang berjawatan gred KP1 dan KP2 itu ditahan dalam satu operasi serentak di Nilai, Negeri Sembilan dan Johor Bahru, Johor pada Isnin lepas.
“Tangkapan dibuat susulan operasi SPRM sebelum ini bagi membanteras sindiket counter-setting di KLIA 1 dan 2 yang dipercayai meraih wang rasuah ratusan ribu ringgit bagi membawa masuk warga asing tanpa melalui pemeriksaan pihak berkuasa sejak 2022 hingga 2024,” katanya.
Susulan tangkapan itu, SPRM turut merampas sejumlah wang tunai dan membekukan beberapa akaun bank milik suspek.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Beliau memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti penglibatan individu lain dalam sindiket itu.