KOTA KINABALU: Mahkamah Kanak-Kanak di sini mengeluarkan perintah larangan (gag order) bagi menghalang pendedahan maklumat berhubung prosiding pendakwaan terhadap lima remaja perempuan yang didakwa menghina Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Perintah itu dikeluarkan oleh Hakim Elsie Primus selepas membenarkan permohonan peguam Datuk Ram Singh yang mewakili salah seorang tertuduh.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar ketika dihubungi mengesahkan, perintah tersebut dibuat di bawah Seksyen 15(1) Akta Kanak-Kanak 2001, yang melarang sebarang laporan atau penyiaran maklumat yang boleh mendedahkan identiti tertuduh.
“Peguam mohon gag order dan ia dibenarkan. Mahkamah turut melarang gambar mereka dan keluarga disiarkan,” katanya.
Menurut beliau, peruntukan undang-undang itu meliputi larangan menyiarkan nama, alamat, sekolah, serta apa-apa butiran lain yang boleh membawa kepada pengecaman tertuduh.
Seksyen 15(2) turut memperuntukkan sekatan terhadap sebarang penerbitan gambar remaja terbabit di media cetak atau elektronik.
Kesemua remaja bawah 18 tahun itu dibenar ikat jamin RM5,000 dengan deposit RM1,000 serta seorang penjamin yang mesti terdiri daripada ibu atau bapa mereka.
Sementara itu, peguam Hamid Ismail yang mewakili keluarga Zara berkata beliau tidak dapat memberi sebarang kenyataan lanjut kerana tertakluk kepada perintah mahkamah.
“Kami tidak boleh ulas atau dedahkan sebarang perkembangan. Tunggu penjelasan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC),” katanya kepada media.
Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad menegaskan media hanya dibenarkan melaporkan fakta asas prosiding termasuk pertuduhan, pengakuan tidak bersalah serta butiran mengenai jaminan, manakala maklumat berkaitan umur tertuduh juga tidak boleh didedahkan.
Terdahulu, kelima-lima remaja berkenaan didakwa menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina, 13, di sebuah sekolah di Papar antara jam 10 malam hingga 11 malam pada 15 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 25 September dan 16 Oktober sebagai tarikh sebutan semula kes, manakala perbicaraan dijadualkan berlangsung pada 8 hingga 12 Disember serta 15 hingga 19 Disember.
Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir ditemui tidak sedarkan diri di sekolahnya pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia sehari kemudian di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.