386 Doktor Letak Jawatan Tahun Lalu, 12 Berhijrah Ke Luar Negara

KUALA LUMPUR: Seramai 386 pegawai perubatan meletakkan jawatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepanjang tahun lalu, dengan 12 orang daripadanya berhijrah ke luar negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata penghijrahan profesional kesihatan ke luar negara bukanlah fenomena baharu kerana ia turut berlaku di banyak negara maju lain.

“Faktor utama adalah tawaran gaji lebih kompetitif, terutama apabila ditukar kepada ringgit, jumlahnya jauh lebih tinggi di negara berpendapatan tinggi.

“Kementerian tidak mempunyai kuasa untuk menghalang pegawai perubatan mencari pekerjaan di sektor swasta atau luar negara, termasuk pengambilan oleh syarikat pencari bakat yang berdaftar,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen hari ini.

Menurut beliau, kementerian sedang melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengurangkan penghijrahan dan mengekalkan bakat perubatan dalam perkhidmatan awam.

Antaranya termasuk 13,552 tawaran jawatan tetap diberikan sejak 2023 bagi pegawai kontrak; purata 4,000 pegawai perubatan dilantik tetap setiap tahun; gaji permulaan kompetitif RM5,380 bagi pegawai perubatan Gred UD9, tertinggi dalam skim perkhidmatan awam; kenaikan tahunan sehingga RM225, serta insentif khas dan elaun tambahan dan sokongan kesihatan mental dan psikososial untuk pegawai perubatan.

Dr Dzulkefly menegaskan, isu mengekalkan tenaga kerja perubatan tidak hanya terletak di bahu KKM semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama pelbagai pihak.

“Usaha mengekalkan pegawai perubatan adalah isu kompleks yang memerlukan penyelesaian jangka panjang. KKM akan terus menjalankan sesi libat urus dengan agensi persekutuan bagi menambah baik insentif dan faedah untuk pegawai perubatan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN–Permatang Pauh) mengenai usaha kementerian menangani penghijrahan doktor muda akibat tekanan kerja dan sistem kontrak.

BBerkaitan

Latest articles