Isu Tengku Zafrul – Bantahan UMNO Dibawa Ke Mesyuarat Pimpinan Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan akan membincangkan secara rasmi bantahan UMNO terhadap penyertaan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz ke dalam PKR.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat Kerajaan Perpaduan yang dijadualkan berlangsung sebelum sambutan Hari Kebangsaan hujung bulan ini.

“Isu ini akan kita bentangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat sebelum akhir bulan, sebelum Merdeka,” katanya selepas menghadiri program Penyemarakan Seni Budaya @ Komuniti Pantai Dalam 2025 di PPR Kerinchi, hari ini.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, partinya sedang melengkapkan nota bantahan rasmi mengenai kemasukan bekas ahli UMNO itu ke dalam parti gabungan Kerajaan Perpaduan.

Menurut Zahid, bantahan itu sudahpun dimaklumkan kepada presiden parti-parti gabungan lain, dan beliau menegaskan konvensyen sedemikian wajar dihormati semua pihak.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut mengumumkan bahawa nota bantahan berkenaan akan diedarkan kepada semua kepimpinan parti gabungan sebagai mesej tegas bahawa tindakan menerima bekas ahli UMNO berpotensi menjejaskan hubungan antara parti.

Keputusan itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO baru-baru ini.

Pada 8 Ogos lalu, Tengku Zafrul mengesahkan bahawa permohonannya untuk menyertai PKR telah diterima, menjadikannya ahli rasmi cabang Ampang.

Beliau sebelum ini mengumumkan keluar daripada UMNO pada 30 Mei, sekali gus menamatkan hubungan politik yang dijalinnya sejak sekian lama bersama parti tersebut.

Langkah Tengku Zafrul itu sekali lagi mencetuskan perbahasan hangat dalam kalangan parti gabungan, dengan UMNO melihatnya sebagai isu prinsip manakala PKR pula menganggap ia sebahagian daripada proses pembaharuan politik.

BBerkaitan

Latest articles