Budak Perempuan Retak Tempurung Kepala Selamat Jalani Pembedahan

JOHOR BAHRU: Seorang murid prasekolah berusia enam tahun yang mengalami pendarahan otak dan retak tempurung kepala selepas dipercayai terjatuh akibat ditolak rakan di sekolah, kini berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan selama tujuh jam di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin-Nisa Ismail, memaklumkan pembedahan tersebut dilakukan pada Selasa lalu dan murid berkenaan kini berada di bawah pemantauan rapi pihak hospital.

“Kejadian berlaku pada Isnin sekitar 6.45 petang ketika murid itu menemani ibunya, seorang guru prasekolah, yang sedang membuat persiapan pentas bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk sambutan hari lahir peringkat sekolah.

“Ketika bermain bersama rakan sebaya, murid terjatuh. Pada mulanya keadaan kelihatan normal tanpa kecederaan luaran, namun sekitar pukul 2 pagi dia didapati tidak sedarkan diri,” katanya ketika menziarahi mangsa.

Kanak-kanak itu pada awalnya dibawa ke Hospital Mersing sebelum dirujuk ke HSA, di mana pemeriksaan mendapati terdapat keretakan dan pendarahan di bahagian kepala.

Hadir sama menziarahi mangsa ialah Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor, Ahmad Hashim Selamat, dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Mohd Hanafi Samad.

Insiden ini mendapat perhatian luas di media sosial selepas ibu murid terbabit, Zalinda Lin, memuat naik hantaran di Facebook memohon doa orang ramai.

Dalam perkongsian itu, Zalinda mendedahkan keadaan anaknya, Aisyah Sofia Rohaizan, yang mengalami retakan pada tempurung kepala serta pendarahan dalaman.

Hantaran tersebut mencetuskan simpati, dengan lebih 13,000 perkongsian dan lebih 3,000 komen yang rata-rata mendoakan kesembuhan serta kekuatan buat keluarga itu.

“Saya hanya berharap Aisyah kembali ceria seperti sediakala,” tulis Zalinda dalam hantaran berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles