KUALA LUMPUR: Dua individu yang merupakan wartawan yang direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama 10 individu disyaki terbabit sindiket penyeludupan di selatan tanah air, dipercayai pernah berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurut sumber, kedua-duanya sudah bersara daripada tentera dan berkhidmat sebagai wartawan di sebuah agensi media dalam talian.
“Peranan kedua-duanya belum dapat dipastikan memandangkan siasatan SPRM masih berjalan,” katanya.
Semalam, SPRM menahan reman 10 individu termasuk lima pegawai kanan ATM dan dua wartawan agensi media dalam talian, yang disyaki terbabit sindiket penyeludupan di selatan tanah air.
Turut direman ialah seorang pengurus syarikat dan pembantu pentadbiran di Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) serta seorang wanita warga asing.
Empat suspek lelaki direman tujuh hari sehingga 20 Ogos ini, dua lelaki dan seorang wanita direman lima hari sehingga 18 Ogos manakala dua lelaki dan seorang wanita warga Indonesia direman tiga hari sehingga hari ini.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Lima pegawai kanan tentera dan lima orang awam berusia antara 30 hingga 55 tahun itu ditahan di sekitar Lembah Klang menerusi Ops Sohor yang dijalankan Bahagian Perisikan SPRM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), kelmarin.