KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Radzi Jidin menegaskan, penentuan calon Perdana Menteri (PM) daripada Perikatan Nasional (PN) adalah isu besar yang hanya boleh dimuktamadkan melalui mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan itu.
Menurutnya, sebarang kenyataan yang dibuat oleh mana-mana pihak sebelum pengumuman rasmi adalah sekadar pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian rasmi PN.
“Berkaitan sesiapa sahaja yang akan dicalonkan sebagai Perdana Menteri, itu keputusan Majlis Tertinggi PN. Selagi belum ada pengumuman rasmi, tiada sebarang keputusan daripada sudut PN,” katanya.
Radzi menegaskan, semua keputusan penting termasuk pencalonan Perdana Menteri perlu melalui proses perbincangan dan persetujuan di peringkat tertinggi parti gabungan itu.
“Keputusan besar seperti ini mesti dibawa ke Majlis Tertinggi PN. Jika tiada keputusan rasmi, kenyataan yang keluar hanyalah pandangan individu,” ujarnya.
Beliau memberi jaminan pengumuman rasmi berhubung perkara itu akan dibuat apabila tiba masanya.
Sebelum ini, Ketua Pemuda PN, Afnan Taib Azamudden dilaporkan berkata gabungan itu telah mempunyai calon PM yang akan diumumkan pada masa sesuai.
Afnan turut menamakan beberapa tokoh sebagai pilihan, antaranya Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; dua Naib Presiden PAS, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Datuk Idris Ahmad; serta Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.