KUALA LUMPUR: Pasukan petugas khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mendedahkan wujud ketidakpatuhan prosedur dalam siasatan awal kes kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir, 16 Julai lalu.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, semakan pihaknya mendapati pegawai penyiasat tidak membuat permohonan rasmi untuk menjalankan bedah siasat terhadap mangsa.
“Kami juga mendapati ibu mangsa memberi persetujuan supaya proses bedah siasat tidak dilakukan. Persetujuan itu direkodkan dalam dokumen rasmi ‘Surat Akuan Enggan Bedah Siasat Mayat Atas Kemahuan Sendiri’ yang ditandatangani ibu mangsa, doktor, pakar patologi dan pegawai penyiasat hospital,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, hari ini.
Menurut Kumar, susulan penemuan itu, siasatan kes akan dibuka semula dengan fokus kepada elemen buli, mengikut Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.
Beliau menambah, langkah tersebut juga seiring dengan permohonan inkues yang sedang diajukan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mendapatkan gambaran menyeluruh punca kematian remaja tersebut.