KUALA LUMPUR, — Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menahan seorang guru sekolah menengah di Selangor bagi membantu siasatan berhubung penyebaran berita palsu berkaitan kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, bulan lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar S Muthuvelu, berkata tangkapan dibuat ke atas seorang guru di SMK Taman Bunga Raya, Bandar Baru Bukit Beruntung, Rawang, yang kini dibebaskan dengan jamin polis.
“Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Kertas siasatan ini akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara (AGC) dalam tempoh terdekat,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini .
Menurut beliau, setakat ini sebanyak 15 kertas siasatan telah dibuka berkaitan penyebaran berita palsu kes berkenaan, termasuk yang berunsur hasutan, fitnah dan komen jelik di media sosial. Pecahan kes melibatkan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) sebanyak tiga kes, Sabah (10), Kuala Lumpur (satu) dan Perak (satu).
“Daripada jumlah itu, dua kertas siasatan diklasifikasikan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan. Siasatan juga mengesahkan tiada penglibatan anak VVIP seperti yang ditularkan sebelum ini,” katanya .
Pemantauan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sehingga 12 Ogos merekodkan 671 permohonan penurunan kandungan, dengan 522 daripadanya telah diturunkan manakala 131 lagi masih dalam penelitian.
Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama SMKA Tun Datu Mustapha, Kinarut, Papar, pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia sehari kemudian di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Bedah siasat pada 10 Ogos lalu mengesahkan punca kematian sebagai Severe Traumatic Brain Injury with Hypoxic Ischemic Encephalopathy, iaitu kecederaan otak akibat kekurangan oksigen dan aliran darah ke otak.
Prosiding inkues akan dipercepatkan bagi menjawab pelbagai persoalan yang timbul dan menentukan punca sebenar kematian pelajar itu.