PUTRAJAYA: Mahkamah menolak rayuan Peguam Negara untuk menghalang Datuk Seri Najib Razak dalam semakan kehakiman berkaitan Titah Adendum.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah memutuskan demikian pada jam 9 pagi ini di Istana Kehakiman di sini.
Keputusan itu telah mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan dan
mengembalikan semakan kehakiman bekas Perdana Menteri itu kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk perbicaraan berdasarkan tarikh-tarikh yang ditetapkan.
Berikutan itu juga, hasrat Najib, 72, untuk meneruskan semakan kehakiman ini bagi mendapatkan perintah mandamus supaya menjalani baki hukuman penjara di rumah akan diteruskan.
Barisan peguam Najib juga masih berpeluang untuk mengemukakan permohonan pengampunan kali kedua, kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Pada 9 Julai lalu, mahkamah selesai mendengar hujahan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan serta peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib.
Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab serta mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh Januari tahun lalu.
Shafee berhujah Peguam Negara sepatutnya berterus terang dalam prosiding terdahulu.
Malah ketika berhujah, Muhammad Shafee antara lain menyatakan bahawa Peguam Negara sepatutnya berterus-terang dari awal bahawa titah adendum berkenaan wujud.
Hujah beliau, Peguam Negara sewajarnya melaksanakan kewajipan secara jujur (duty of candour) pada peringkat prosiding, namun Mahkamah Tinggi sebaliknya bertindak membantah kebenaran semakan kehakiman yang dikemukakan Najib.
Duty of candour merujuk kepada kewajipan bersikap jujur dan terbuka dalam semakan kehakiman untuk memberikan maklumat yang benar dan lengkap termasuk berkaitan dokumen kepada mahkamah berhubung fakta yang relevan dengan isu yang dipertikaikan.
Ketika berhujah, Shafee menambah bahawa anak guamnya tidak mempunyai akses kepada dokumen berkenaan semasa permohonan awal kerana sifatnya yang sulit dan tidak didedahkan kepada umum.
“Anak guam saya sudah bertindak sewajarnya untuk mendapatkan pengesahan mengenai kewujudan dokumen berkenaan. Malah, dokumen itu hanya diperoleh oleh anak beliau, Datuk Mohamad Nizar, selepas Mahkamah Tinggi membuat keputusan menolak permohonan semakan,” katanya.
Shafee berkata, dokumen berkenaan turut disertakan dengan syarat bahawa ia tidak boleh digunakan tanpa keizinan Istana Negara.
Hanya selepas keizinan diberikan pada 2 Disember 2024, Najib memfailkan afidavit dan menyerahkannya kepada mahkamah.
“Tindakan segera ini menunjukkan tiada sebarang kelewatan tidak munasabah. Malah, ia mencerminkan bahawa anak guam kami bertindak melebihi tanggungjawab undang-undang bagi membantu mahkamah ini,” katanya.
Pada 2 Julai lalu, Mohd Dusuki dalam hujahannya berkata, Najib dan anaknya Mohamad Nizar tidak mengemukakan bukti munasabah berkaitan kewujudan titah adendum, walhal berpeluang berbuat demikian di peringkat permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.
Hujah beliau, Mohd Nizar yang juga EXCO Kerajaan Negeri Pahang, berpeluang mendapatkan titah itu kerana beliau kerap menghadiri mesyuarat dan pertemuan dengan Sultan Pahang.
Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan berpendirian, titah adendum daripada Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu wujud yang membolehkan beliau menjalani baki tempoh hukuman penjara secara tahanan di rumah.
Beliau kini menjalani hukuman penjara enam tahun di Penjara Kajang, Selangor selepas disabitkan bersalah menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.