KEPALA BATAS: Perhimpunan solidariti mempertahankan Jalur Gemilang esok bakal menyaksikan gabungan luar biasa apabila Pemuda Bersatu mengesahkan penyertaan bersama Pemuda UMNO di Kepala Batas, Pulau Pinang.
Ketua Pemuda Bersatu, Hilman Idham berkata, penyertaan itu membuktikan isu mempertahankan kedaulatan negara dan maruah bendera kebangsaan mengatasi perbezaan politik.
“Seruan mempertahankan Jalur Gemilang adalah semboyan penyatuan kebangsaan. Rakyat mesti digembleng bersama demi panji tanah air, tanpa mengira parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hilman turut menegaskan semua pihak yang hadir diminta mematuhi undang-undang dan memastikan himpunan berlangsung aman, bersemangat patriotisme tulen, dan bebas provokasi.
Dalam masa sama, beliau mengkritik pihak yang menurutnya cuba “mengalihkan isu” daripada kesalahan mengibar bendera secara terbalik.
“Jangan peralat patriotisme untuk membela tindakan yang salah,” tegasnya.
Perhimpunan esok, yang membawa slogan Bangkit! Bersatu! Demi Jalur Gemilang!, sebelum ini diseru oleh Pemuda UMNO sebagai simbol kebangkitan suara anak muda menolak sebarang cubaan meremehkan bendera negara.
Isu ini tercetus selepas seorang pemilik kedai perkakasan di Pulau Pinang dikecam kerana memasang Jalur Gemilang secara terbalik, yang membawa kepada perdebatan hangat antara pemimpin politik mengenai cara menangani insiden tersebut.