KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan membangkitkan persoalan sama ada tindakan peguam dan Presiden Parti Kemajuan Malaysia, P Waytha Moorthy menyaman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ada kaitan dengan pertemuannya bersama pemimpin Bersatu baru-baru ini.
Beliau merujuk laporan bahawa Waytha memfailkan saman di mahkamah bagi mendapatkan deklarasi bahawa Anwar tidak layak menjadi Ahli Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15, sekali gus tidak sepatutnya dilantik sebagai perdana menteri.
Menerusi hantaran di Facebook, Syahredzan mempersoalkan tempoh masa tindakan tersebut memandangkan Anwar telah memegang jawatan hampir tiga tahun.
“Anwar jadi Ahli Parlimen Tambun selama 996 hari. Tapi Waytha baru sekarang mahu membatalkan kelayakan beliau? Kebetulan pula bulan lepas beliau bertemu pemimpin Bersatu, dan hari ini kita dimaklumkan tentang saman ini?”, soalnya.
Syahredzan turut mengingatkan bahawa Waytha sebelum ini pernah memuji Anwar sebagai individu paling layak mengetuai Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra), yang menurutnya adalah satu pengiktirafan jelas terhadap kelayakan Anwar.
Selain itu, beliau berkata Waytha tidak pernah membantah ketika Anwar bertanding dan menang dalam PRK Port Dickson pada 2018, mahupun memfailkan sebarang saman berkaitan kelayakan ketika itu.
Bulan lalu, Waytha dilaporkan antara pemimpin politik luar blok kerajaan yang bertemu Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membincangkan pembentukan gabungan pembangkang baharu.
Syahredzan menyifatkan tindakan menyaman Anwar sebagai “remeh dan menyusahkan”, sambil menegaskan sesiapa sahaja berhak ke mahkamah, tetapi rakyat berhak mempersoalkan motif di sebaliknya.