KUALA LUMPUR:Cadangan mengadakan himpunan aman di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah, yang dikaitkan dengan kes kematian Zara Qairina Mahathir, dikhuatiri hanya menambah tekanan emosi terhadap pelajar, guru dan ibu bapa.
Pakar pendidikan, Dr. Radin Muhd Imaduddin Radin Abdul Halim, berkata tindakan sebegitu bukan sahaja tidak mempunyai motif yang jelas, malah boleh menjejaskan fokus calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sedang berada di fasa kritikal persediaan peperiksaan.
“Di sekolah itu, ada pelajar yang sedang bertarung untuk masa depan mereka dan guru yang siang malam memikirkan kejayaan anak murid. Kehadiran kumpulan orang dewasa yang mungkin melaungkan slogan di luar pagar sekolah hanya akan menambah tekanan psikologi mereka,” katanya.
Radin yang juga Felo Penyelidik Pendidik Madani turut menegaskan, himpunan di hadapan sekolah tidak akan membantu proses mencari keadilan melalui saluran undang-undang, sebaliknya berisiko mencetuskan satu lagi bentuk buli terhadap warga sekolah.
Beliau turut mengingatkan bahawa ibu bapa pasti bimbang dan trauma jika anak mereka berada di sekolah yang dikepung suasana tegang.
“Adakah hanya kita yang layak menuntut keadilan untuk Zara Qairina sehingga sanggup menghina atau memperlekeh pihak Kementerian Pendidikan (KPM) yang cuba meredakan keadaan?
“Kemarahan yang tidak dibimbing iman hanya akan melahirkan zalim yang baru,” katanya.
Semalam, Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd Azam Ahmad, merayu orang ramai agar tidak melakukan perhimpunan di hadapan sekolah berkenaan dan memberi ruang kepada pelajar serta guru untuk terus menjalankan aktiviti pembelajaran dalam keadaan selamat.
Beliau menegaskan bahawa pihak KPM komited mendapatkan keadilan untuk Allahyarham Zara Qairina, namun dalam masa sama mahu memastikan hak pelajar dan guru di sekolah tersebut juga dilindungi.
Gerakan mengadakan himpunan di sekolah berkenaan mula tular di media sosial sebagai sebahagian usaha mendesak keadilan bagi kes tersebut.
Namun, Radin menegaskan bahawa menghukum semua pihak atas kesalahan segelintir bukanlah definisi sebenar keadilan.