PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan tidak akan berkompromi terhadap guru yang menghisap vape, khususnya secara terbuka atau di hadapan murid, kerana ia melanggar Standard Guru Malaysia (SGM) yang menekankan peranan guru sebagai teladan sahsiah.
Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata guru yang didapati menghisap vape atau merokok di kawasan sekolah boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun mengikut Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.
“KPM turut mengharapkan kerjasama masyarakat dan pihak berkuasa tempatan untuk memantau pembelian serta penjualan vape kepada murid sekolah.
“Ibu bapa pula perlu sentiasa peka dengan perubahan tingkah laku anak-anak agar tidak terjebak dalam ketagihan menghisap vape,” katanya menerusi jawapan bertulis di laman web Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab soalan Nurul Amin Hamid (PN–Padang Terap) mengenai langkah KPM membendung penggunaan vape di sekolah, susulan dakwaan segelintir guru turut menghisap vape secara terbuka hingga memberi contoh negatif kepada murid.
Fadhlina memaklumkan, KPM kini dalam proses meminda Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) bagi memasukkan larangan merokok termasuk rokok elektronik, peralatan, alat elektronik dan cecair vape.
Pindaan itu selaras dengan penguatkuasaan Akta 852 yang diwartakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 1 Oktober 2024, yang turut melarang penjualan vape kepada individu bawah umur 18 tahun serta penjualan dalam jarak 40 meter dari sempadan atau pagar sekolah.