Dr Akmal Beri Amaran ‘Ajar’ Pemilik Kedai Pasang Bendera Jika Tiada Pendakwaan

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh memberi amaran akan turun sendiri untuk memberi “kelas” kepada pemilik kedai perkakasan di Pulau Pinang berhubung cara pemasangan Jalur Gemilang yang betul, sekiranya individu tersebut tidak didakwa di mahkamah pada Rabu ini.

“Kita beri kepada pendakwa raya selama dua hari… esok dan Rabu. Jika tiada pendakwaan, pada Khamis saya akan turun dan ajar ‘apek’ ini bagaimana cara nak pasang bendera dengan betul,” katanya menerusi satu video di Facebook.

Beliau turut berharap pendakwaan dibuat di bawah seksyen yang lebih berat supaya hukuman yang dikenakan lebih tegas.

Semalam, polis menahan pemilik kedai perkakasan berusia 59 tahun selepas tular video memaparkan Jalur Gemilang dikibarkan secara terbalik di premisnya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata, kertas siasatan telah diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan akan dirujuk ke Putrajaya bagi arahan lanjut.

Setakat ini, sebanyak 16 laporan polis diterima di seluruh negara berhubung kejadian itu, termasuk 12 dari Pulau Pinang.

Pemilik kedai terbabit, seperti dilaporkan Malaysiakini, menjelaskan bahawa bendera tersebut terbalik secara tidak sengaja ketika beliau sedang mengukur panjang tiang besi untuk pemasangan.

Katanya, beliau segera membetulkan kedudukan bendera selepas menyedarinya, memohon maaf atas insiden tersebut, dan membuat laporan di Balai Polis Kepala Batas bagi memberikan penjelasan.

BBerkaitan

Latest articles