Kes Kematian Zara Qairina Diambil Alih Pasukan Petugas Khas Bukit Aman

KUALA LUMPUR: Siasatan berhubung kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, kini diambil alih oleh pasukan petugas khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Menurut Pejabat Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat), pasukan yang terdiri daripada sembilan pegawai dan anggota itu telah dihantar ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bagi menjalankan siasatan.

“Penghantaran pasukan khas ini adalah sebahagian daripada komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan siasatan dilakukan secara telus dan menyeluruh.

“PDRM memandang serius setiap kes kehilangan nyawa,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, pihak polis meminta semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara profesional, serta mengelakkan daripada membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.

Zara Qairina, 13, ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, kira-kira jam 4 pagi pada 16 Julai lalu.

Mangsa disahkan meninggal dunia sehari kemudian ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah.

BBerkaitan

Latest articles