“Fantastic Work” – Trump Puji Peranan Malaysia Dalam Gencatan Senjata Thailand-Kemboja

KUALA LUMPUR: Usaha Malaysia yang berjaya menjadi orang tengah dalam menyatukan Thailand dan Kemboja untuk mencapai perjanjian gencatan senjata mendapat pujian Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa pujian itu disampaikan Trump sendiri menerusi panggilan telefon seawal jam 6.50 pagi, Khamis lalu.

“Beliau kata ‘Prime Minister Anwar, fantastic work’. Malah, beliau ulang perkataan ‘fantastic’ tiga kali, tanda kekaguman beliau terhadap kejayaan Malaysia menyatukan dua negara jiran yang lama berselisih,” ujar Anwar ketika merasmikan Karnival Mega 3 Dimensi 2025 di MITEC, hari ini.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Menurut Anwar, rundingan pertama sebelum ini tidak membuahkan hasil walaupun Trump sendiri telah menghubungi Presiden China untuk memediasi rundingan damai antara Bangkok dan Phnom Penh.

Namun begitu, melalui usaha gigih Kementerian Luar dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Malaysia berjaya mempertemukan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai dalam mesyuarat khas di Putrajaya pada 28 Julai lalu.

“Alhamdulillah, dalam masa dua jam setengah sahaja, gencatan senjata berjaya dimeterai. Ini bukan mudah kerana kita tahu pertikaian sempadan ini telah berlarutan bertahun-tahun,” katanya.

Anwar turut menekankan bahawa kejayaan diplomatik ini sekali gus meletakkan nama Malaysia sebagai pemimpin serantau yang berwibawa dalam hal ehwal keamanan dan penyelesaian konflik.

“Dari Washington ke London hingga ke ASEAN, ramai memuji peranan Malaysia dalam membawa kedamaian di rantau ini. Ini kejayaan bersama,” katanya.

Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa satu lagi rundingan lanjutan akan berlangsung di Kuala Lumpur pada Isnin ini (5 Ogos), yang bakal disertai Menteri Pertahanan Thailand dan Kemboja.

“Tujuannya adalah untuk memperincikan mekanisme pelaksanaan gencatan senjata ini, termasuk langkah-langkah teknikal dan kawalan keselamatan di sempadan,” jelas beliau.

Sebelum ini, ATM dalam kenyataannya mengesahkan Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) antara kedua-dua negara akan diadakan dari 4 hingga 7 Ogos di ibu negara.

Perjanjian damai tersebut menamatkan ketegangan yang memuncak sejak 28 Mei lalu apabila berlaku pertempuran di kawasan sengketa Preah Vihear yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.

Pertikaian sempadan sepanjang 817 kilometer itu telah lama menjadi isu sensitif dalam hubungan diplomatik kedua-dua negara.

BBerkaitan

Latest articles