MITI Nafi Kompromi Piawaian Halal Demi Kepentingan Perdagangan Dengan AS

PUTRAJAYA: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menegaskan bahawa Malaysia tidak pernah berkompromi dalam isu piawaian halal demi memenuhi kehendak Amerika Syarikat (AS), susulan dakwaan tular yang mengaitkan pengurangan tarif oleh AS dengan kelonggaran syarat halal.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan menjelaskan bahawa kerjasama Malaysia-AS hanya melibatkan usaha memperkemas proses pengimportan daging halal dari negara berkenaan tanpa sebarang pelonggaran terhadap syarat halal yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Tiada ruang untuk kompromi apabila melibatkan prinsip syariah. Semua daging halal yang diimport, termasuk dari AS, masih tertakluk sepenuhnya kepada pematuhan piawaian halal JAKIM. Jika tidak mematuhi, ia tidak akan dibenarkan memasuki pasaran Malaysia,” katanya dalam sidang media.

Menurutnya lagi, hanya badan pensijilan halal di AS yang diiktiraf oleh JAKIM dibenarkan mengesahkan status halal produk berkenaan.

Tengku Zafrul turut menegur pihak yang cuba mempolitikkan isu halal demi kepentingan tertentu dan mengingatkan bahawa perkara membabitkan sensitiviti umat Islam tidak wajar dijadikan bahan spekulasi.

“Pensijilan halal bukan isu untuk dimanipulasi bagi tujuan politik atau sensasi. Ia menuntut ketelitian, kefahaman dan fakta yang sahih,” katanya.

Beliau juga menekankan bahawa pertukaran pandangan dengan AS tidak bermaksud tunduk kepada tekanan, sebaliknya membuka peluang kepada Malaysia untuk menambah baik sistem sedia ada, khususnya berkaitan elemen birokrasi.

“Kita terbuka kepada penambahbaikan sistem secara objektif, tetapi bukan dengan mengorbankan prinsip asas syariah,” tambah beliau.

Isu ini timbul susulan pengumuman AS untuk mengurangkan tarif balas ke atas beberapa produk Malaysia, termasuk daging halal, yang menimbulkan spekulasi kononnya Malaysia memberi kelonggaran terhadap piawaian halal sebagai timbal balas.

MITI sebelum ini menjelaskan bahawa keputusan tersebut adalah hasil rundingan teknikal selama hampir tiga bulan dan tiada sebarang kompromi melibatkan dasar sensitif negara.

BBerkaitan

Latest articles