KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf peranan penting Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menjayakan perjanjian gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat antara Thailand dan Kemboja, yang diumumkan semalam.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara, menyifatkan kepimpinan Anwar sebagai “berwibawa dan menentukan” dalam mendorong kedua-dua negara jiran itu mencapai persetujuan damai yang amat dinanti-nantikan.
“Kami amat berterima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia atas kepimpinan beliau dan kerana menjadi tuan rumah kepada rundingan gencatan senjata ini,” katanya.
Rubio turut menyambut baik pengumuman gencatan senjata itu dan menyeru Thailand dan Kemboja supaya mematuhi sepenuhnya komitmen yang telah dipersetujui, bagi menghentikan konflik bersenjata dan mengelakkan ketegangan berulang di kawasan sempadan yang menjadi pertikaian sejak sekian lama.
“Presiden Donald Trump dan saya kekal komited terhadap penghentian segera segala bentuk keganasan, dan berharap semua pihak benar-benar menghormati persetujuan yang dicapai,” tambah beliau.
Menurut kenyataan itu, AS akan terus terlibat secara aktif dalam menyokong proses damai tersebut bersama Malaysia sebagai rakan strategik serantau.
“Kami menggesa semua pihak supaya melaksanakan segala komitmen dengan penuh tanggungjawab demi kestabilan dan kesejahteraan serantau,” katanya lagi.
Rundingan yang diadakan di Kuala Lumpur itu mendapat perhatian antarabangsa susulan pertembungan bersenjata yang berlarutan antara pasukan keselamatan Thailand dan Kemboja di kawasan sempadan yang sensitif sejak awal tahun ini.
Peranan Malaysia sebagai fasilitator perdamaian memperkukuh imej negara sebagai kuasa sederhana yang aktif dalam diplomasi serantau.