Kerajaan Bantu Bawa Pulang 42 Jemaah Umrah Terkandas, Jamin Tindakan Tegas Terhadap Agensi

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia sedang mengambil langkah segera bagi membawa pulang 42 jemaah umrah yang dilaporkan terkandas di Jeddah sejak 25 Julai lalu selepas didakwa menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Arab Saudi kini memberikan perhatian penuh terhadap isu berkenaan dan sedang mengatur segala usaha yang perlu bagi menjamin kebajikan serta keselamatan para jemaah terbabit.

“Kerajaan memandang serius insiden seperti ini, lebih-lebih lagi apabila melibatkan warga emas dan penjawat awam.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menipu atau memperdaya jemaah,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau menegaskan bahawa tindakan tegas termasuk melalui saluran undang-undang akan diambil terhadap pihak bertanggungjawab, termasuk mana-mana individu atau agensi yang bersubahat.

Insiden itu mendapat perhatian ramai selepas tular di media sosial mengenai nasib kumpulan jemaah yang sepatutnya pulang ke tanah air selepas selesai menunaikan umrah dan ziarah ke Taif. Mereka mendakwa telah membuat bayaran penuh kepada agensi Persada Global Holidays (PGH), namun tiket penerbangan yang dijanjikan tidak wujud.

Malah, jemaah terpaksa berpindah-randah dari satu penginapan ke satu penginapan lain di sekitar Jeddah dengan bantuan mutawif tempatan, termasuk seorang yang dikenali sebagai PU Abu Sufiyan.

Dalam pada itu, Dr Mohd Na’im turut mengingatkan umat Islam agar sentiasa berwaspada ketika memilih pakej umrah, dan hanya berurusan dengan syarikat berlesen serta berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Sejak awal tahun ini saya telah berkali-kali menasihati orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu melalui portal rasmi MOTAC atau aplikasi semakan ejen pelancongan berlesen,” ujarnya.

Beliau turut berharap kejadian seperti ini menjadi pengajaran dan tidak akan berulang pada masa akan datang.

BBerkaitan

Latest articles