Anwar: Himpunan ‘Turun Anwar’ Hanya Mainan Sentimen Politik Kebencian

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan himpunan ‘Turun Anwar’ anjuran pembangkang di sekitar Dataran Merdeka semalam sebagai cubaan menyemai politik kebencian tanpa membawa isu-isu konkrit untuk rakyat.

Menurut beliau, setelah meneliti tuntutan yang dibawa peserta himpunan, tiada satu pun isu besar seperti ekonomi, pendidikan, perpaduan mahupun kestabilan negara yang diketengahkan secara serius.

“Saya lihat sendiri isu yang dibangkitkan. Yang ada cuma laungan ‘Turun Anwar’, tiada satu pun cadangan atau fakta kukuh yang dibawa,” katanya dalam sidang media selepas Seminar Pemantapan Organisasi dan Pertemuan Bersama Presiden PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Mengulas tindakan pembangkang yang tetap menganjurkan perhimpunan meskipun pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan, Anwar berkata beliau tidak menghalang, malah mengakui itu hak rakyat dalam negara demokrasi.

“Mereka bebas bersuara, tetapi fakta mesti dikemukakan. Ada yang kata harga minyak naik, sedangkan ia sebenarnya turun. Ini bukti betapa sentimen politik lebih dominan daripada realiti,” katanya.

Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan sentiasa terbuka menerima teguran dan sedia memperbaiki kelemahan.

“Saya tidak pernah mendakwa semuanya sempurna. Tapi janganlah guna pendekatan menabur kebencian tanpa asas,” ujarnya.

Mengulas kemungkinan pembangkang mengemukakan usul undi tidak percaya terhadapnya di Dewan Rakyat, Anwar dengan tenang menyambut baik cadangan tersebut.

“Kalau Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mahu bawa usul, silakan. Itu proses yang betul dan wajar dalam sistem Parlimen,” katanya sambil menyindir bahawa perkara itu telah disebut berkali-kali tetapi tidak pernah dilaksanakan.

Terdahulu, Hamzah membayangkan usul tersebut akan dikemukakan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Johari Abdul dalam masa terdekat.

Namun begitu, kenyataan itu bercanggah dengan pendirian Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang menegaskan bahawa buat masa ini, PAS tidak bercadang membawa sebarang usul undi tidak percaya di Parlimen.

“Undi tidak percaya bukan sahaja boleh dilakukan dalam Dewan Rakyat, tetapi juga melalui Pilihan Raya Umum nanti,” kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu.

Dalam pada itu Anwar menegaskan beliau akan terus turun padang mendekati rakyat dan meneruskan kerja pentadbiran seperti biasa.

“Ini pun saya baru turun dari Muar dan minggu depan saya akan ke Kelantan,” katanya, sambil memperlihatkan bahawa tekanan politik tidak akan mengganggu fokus beliau sebagai Perdana Menteri.

BBerkaitan

Latest articles