KANGAR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, memaklumkan beliau telah mengadakan perbincangan terperinci dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung langkah susulan terhadap titah adendum berkaitan permohonan tahanan rumah oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menurut Zahid, kerajaan kini sedang meneliti saluran perundangan yang sesuai dan tindakan susulan akan dilaksanakan secepat mungkin, namun tetap tertakluk kepada kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dalam proses pengampunan.
“Saya sudah bertemu dengan Perdana Menteri dan berbincang secara terperinci mengenai kaedah perundangan yang harus diikuti.
“Insya-Allah akan ada tindakan susulan yang dilakukan ikut prosedur perundangan,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kangar, hari ini.
Zahid menjelaskan bahawa sebarang keputusan berkaitan pelaksanaan tahanan rumah untuk Najib perlu melalui proses Lembaga Pengampunan, yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong sendiri.
“Langkah ini tetap melalui proses perundangan melalui Lembaga Pengampunan dan pengerusi lembaga ini ialah Agong. Maka, kuasa baginda perlu dihormati oleh semua,” jelasnya lagi.
Najib kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Beliau telah mengemukakan petisyen pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Susulan itu, Lembaga Pengampunan membuat keputusan mengurangkan hukuman penjaranya dari 12 tahun kepada 6 tahun, manakala dendanya dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.