KUALA LUMPUR: Dataran Merdeka hari ini menjadi pentas rakyat apabila puluhan ribu peserta dari seluruh negara menyertai Himpunan ‘Turun Anwar’, yang menyaksikan kemunculan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dengan mesej: “Saya tidak perlukan imuniti seperti Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.”
Ucapan Dr Mahathir yang kini berusia 100 tahun itu disambut sorakan dan tepukan gemuruh ribuan peserta yang membanjiri lokasi itu yang sebahagian besarnya penyokong PAS dari seluruh pelosok negara.
Muncul selepas hujan reda dalam pakaian serba hitam, Dr Mahathir naik ke pentas utama dan tanpa berselindung menyentuh isu kontroversi saman sivil Mohamed Yusoff Rawther terhadap Anwar, kes yang dikaitkan dengan dakwaan gangguan seksual dan kekebalan mahkamah.
“Saya tidak perlu imuniti seperti Perdana Menteri dalam kes saman Yusuff Rawther,” katanya lantang selain melaungkan “Turun Anwar!”.
Seawal jam 8 pagi, peserta telah mula berkumpul di lokasi-lokasi strategik seperti Masjid Negara, Pasar Seni, Masjid Jamek, Kampung Baru dan Sogo, sebelum berarak ke Dataran Merdeka di bawah kawalan pasukan amal PAS.
Cuaca tidak menjadi penghalang walaupun hujan lebat turun pada sebelah petang, ribuan peserta kekal berdiri, berhujan dan berteduh di bawah payung serta baju hujan plastik.
Namun turut kelihatan kanak-kanak seawal usia 3 tahun bersama ibu bapa dalam himpunan sesak, panas dan hujan.
Amaran pihak berkuasa agar tidak membawa anak kecil jelas diabaikan oleh sebahagian peserta.
Perhimpunan ditutup secara aman dengan bacaan doa dan nyanyian lagu Negaraku, sebelum peserta bersurai dengan tertib.
Petugas kebersihan, termasuk sukarelawan penganjur, dilihat bergotong-royong membersihkan kawasan Dataran Merdeka daripada sisa makanan dan sampah.