PUTRAJAYA: Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu Pulau Batu Puteh telah mengusulkan cadangan agar tindakan diambil terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad atas dakwaan “pengkhianatan kepada negara”, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, menurut Anwar, meskipun Kabinet mengakui wujud kesalahan besar dalam keputusan yang dibuat Mahathir sewaktu menjadi Perdana Menteri pada 2018, keputusan untuk tidak mendakwa beliau dibuat selepas mengambil kira faktor usia dan keadaan semasa tokoh veteran itu.
“Saya tidak melangkaui keputusan Peguam Negara. Kabinet berpandangan bahawa kesalahan itu besar, tetapi selepas mengambil kira suasana dan keadaan Tun Mahathir, kami memutuskan untuk tidak membawa kes itu ke peringkat pendakwaan,” kata Anwar.
Menurut beliau, laporan lengkap RCI dan pasukan petugas khas telah menggariskan kesalahan dengan jelas serta mengesyorkan tindakan susulan terhadap Dr Mahathir, namun pertimbangan kemanusiaan turut diambil kira dalam keputusan akhir kerajaan.
Kenyataan Anwar hadir susulan tindakan pembangkang yang mengemukakan usul untuk merujuk beliau kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa Perdana Menteri mengelirukan Dewan Rakyat berhubung status laporan RCI itu.
“Kuasa siapa untuk menuduh dan mendakwa seseorang? Adakah ini bukan satu bentuk campur tangan dalam urusan undang-undang?” soal Takiyuddin dalam satu sidang media di Parlimen, semalam.
Usul tersebut dikemukakan di bawah Peraturan Mesyuarat 36(12), yang memperuntukkan tindakan terhadap mana-mana ahli yang mengelirukan Dewan.
Susulan kenyataan Anwar, Tun Dr Mahathir dalam satu hantaran media sosial menegaskan bahawa beliau tidak memerlukan sebarang perlindungan, termasuk faktor usia, sekiranya kerajaan benar-benar mahu mengambil tindakan terhadapnya.
“Saya tidak minta simpati. Kalau saya bersalah, tuduh sajalah. Tak perlu bagi alasan saya sudah tua,” tulisnya secara sinis.
Isu Pulau Batu Puteh kembali hangat selepas kerajaan pada 2018, ketika di bawah pentadbiran Mahathir, menarik balik semakan semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang berpihak kepada Singapura, menyebabkan Malaysia melepaskan tuntutan ke atas wilayah strategik itu.
Mengulas tindakan pembangkang mengemukakan usul terhadapnya, Anwar berkata beliau tidak menghalang mana-mana pihak menggunakan saluran sah Parlimen, namun mengingatkan agar laporan penuh RCI dibaca terlebih dahulu.
“Tak mengapa, mereka ikut proses. Tapi baca dulu laporan penuh RCI dan pasukan petugas khas yang jelas meletakkan kesalahan itu kepada Tun Mahathir,” tegasnya.
Anwar ditemui media selepas menghadiri Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-50 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.