Penarik Kereta Direman, Didakwa Pukul Lelaki Akibat Salah Faham Mesej Di TikTok

BUKIT MERTAJAM: Seorang pekerja penarik kereta berusia 19 tahun direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes serangan ke atas seorang tukang gunting rambut di hadapan rumah teman wanitanya di Kampung Contoh, pada Rabu lalu.

Perintah reman sehingga 29 Julai itu dikeluarkan oleh Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau objek berbahaya.

Suspek yang berpakaian lokap oren tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 9.50 pagi dengan kawalan ketat pihak polis.

Menurut sumber, mangsa yang berusia 21 tahun sedang menunggu teman wanitanya di luar rumah pada jam 9.30 malam apabila suspek secara tiba-tiba muncul menaiki motosikal dan menumbuk pipi kanan mangsa dengan objek tumpul.

Akibat serangan tersebut, mangsa mengalami lekukan pada pipi kanan dan menerima rawatan di Hospital Kepala Batas sebelum dirujuk ke klinik pakar pergigian untuk rawatan susulan.

Siasatan awal mendapati insiden ini berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dan teman wanita mangsa yang bermula di platform media sosial TikTok sejak bulan lalu.

Difahamkan, suspek pernah menghantar mesej berunsur penghinaan melalui mesej peribadi (DM) selepas wanita berkenaan menyahblok akaunnya.

Dalam mesej tersebut, suspek didakwa menggunakan kata-kata kesat dan menuduh wanita itu melakukan perkara tidak bermoral termasuk “menjual diri” kepada lelaki lain.

Mangsa yang mengetahui perkara itu bertindak menegur suspek melalui mesej, namun situasi menjadi semakin tegang sehingga akhirnya membawa kepada kejadian serangan fizikal.

Polis kini menjalankan siasatan lanjut termasuk meneliti rekod komunikasi antara suspek, mangsa dan teman wanita terbabit bagi melengkapkan kertas siasatan.

BBerkaitan

Latest articles