Dua Pegawai Penguat Kuasa Ditahan Terbabit Kes “Flying Passport”

JOHOR BAHRU: Dua pegawai penguat kuasa ditahan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) malam tadi selepas disyaki terlibat dalam kegiatan salah laku “flying passport” di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

Komander AKPS CIQ BSI, Roszita Dim, berkata kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 31 dan 49 tahun itu ditahan sekitar jam 9 malam hasil pemantauan rapi yang dijalankan Unit Pematuhan AKPS BSI terhadap operasi kaunter pemeriksaan di kompleks berkenaan.

“Hasil risikan mendapati terdapat kemasukan data pelawat yang meragukan menggunakan ID pegawai bertugas di kaunter zon kereta. Malah, kami turut mengesan data pelawat asing yang berada dalam kategori bermasalah, tetapi dibebaskan selepas ralat data dibetulkan melalui ID penyelia di zon motosikal,” katanya dalam sidang media khas di Dewan Pelepasan Pelawat CIQ BSI, hari ini.

Pemeriksaan lanjut di kaunter kereta menemukan wang tunai sebanyak RM2,800 serta dua unit telefon bimbit dalam simpanan salah seorang pegawai.

Soal siasat ke atas suspek membawa kepada penemuan sebuah beg hitam disembunyikan di atas siling kaunter lain, mengandungi 11 pasport milik warga China dan tiga pasport milik warga Indonesia.

Turut dirampas dua lagi telefon bimbit daripada penyelia yang bertugas di zon motosikal bagi membantu siasatan.

“Kedua-dua individu ini telah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor pagi tadi untuk tindakan lanjut,” kata Roszita, sambil menambah bahawa laporan rasmi juga telah dikemukakan kepada Ketua Unit Integriti AKPS di Putrajaya.

Menurut Roszita, penahanan ini adalah hasil pemantauan intensif selama seminggu, namun siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti tempoh sebenar kegiatan itu dijalankan dan sama ada kedua-dua pegawai tersebut merupakan sebahagian daripada sindiket yang lebih besar.

“Kami sedang menyiasat sama ada wujud jaringan atau sindiket yang lebih luas. Ketelusan dan integriti di pintu sempadan negara adalah keutamaan kami, dan kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota yang khianat terhadap tanggungjawab mereka,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles