KUALA LUMPUR: Suasana sekitar Dataran Merdeka hari ini bergema dengan laungan “Turun Anwar” dan “Bangkit, Bangkit” apabila para peserta mula membanjiri lokasi ikonik itu sebagai tanda bantahan terhadap pentadbiran kerajaan.
Seawal pagi, kumpulan peserta dilihat mula berarak dari pelbagai lokasi tumpuan di ibu negara termasuk Masjid Jamek, Sogo, Masjid Negara dan Pasar Seni, menuju ke Dataran Merdeka yang menjadi pusat perhimpunan utama.
Difahamkan, perarakan berlangsung dalam keadaan cuaca panas terik dengan bunyi hon kenderaan sesekali mengiringi perjalanan peserta sebagai tanda sokongan moral.
Sebahagian besar peserta berpakaian serba hitam sebagai simbol solidariti, namun tinjauan mendapati masih terdapat peserta yang membawa anak kecil meskipun pihak berkuasa telah memberi peringatan agar kanak-kanak tidak dibawa, khususnya dalam cuaca ekstrem.
Himpunan ini dijadual berlangsung sehingga jam 6 petang, tanpa mengira keadaan cuaca.
Setakat jam 12.30 tengah hari, peserta diminta berehat sementara menunggu ketibaan pemimpin utama dan kumpulan peserta lain sekitar jam 2 petang.
Keadaan semasa dilaporkan terkawal, dengan kehadiran anggota keselamatan yang membuat pemantauan rapi di lokasi strategik.
Polis turut menggunakan dron bagi menilai pergerakan peserta dan memastikan ketenteraman awam terpelihara.
Dalam masa sama, beberapa pelancong asing yang berada di sekitar lokasi turut dilihat terkejut dengan skala himpunan, memandangkan Dataran Merdeka adalah salah satu kawasan tumpuan pelancong di ibu kota.
Penganjur menegaskan himpunan ini adalah simbol kebangkitan rakyat terhadap isu-isu pentadbiran, ekonomi dan kos sara hidup yang didakwa gagal ditangani oleh kerajaan semasa yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.