Gencatan Senjata: PM Kemboja Setuju Cadangan Anwar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Kemboja Hun Manet bersetuju dengan cadangan gencatan senjata bersama Thailand yang dikemukakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Manet berkata, beliau bersetuju dengan gencatan senjata itu kerana Kemboja bukan pihak yang memulakan pertempuran.

“Kunci kepada penyelesaian konflik bersenjata antara Thailand dan Kemboja ketika ini ialah kesediaan tulen pihak Thailand untuk menerima gencatan senjata, yang merupakan langkah pertama ke arah mencari penyelesaian seterusnya antara kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Beliau menjelaskan, terdapat laporan yang tidak jelas daripada beberapa media antarabangsa mengenai rundingan gencatan senjata yang dicadangkan oleh perdana menteri Malaysia itu selaku pengerusi Asean.

Katanya, persetujuannya terhadap gencatan senjata hanya dibuat selepas dimaklumkan oleh Anwar bahawa pemangku perdana menteri Thailand Phumtham Wechayachai bersetuju mengadakan rundingan damai.

Bagaimanapun, beliau menyatakan rasa kesal apabila Thailand kemudiannya menukar pendirian.

“Namun amat dikesali bahawa hanya selepas lebih satu jam kemudian, pihak Thailand memaklumkan mereka menarik balik pendirian terdahulu berhubung persetujuan terhadap gencatan senjata,” katanya.

Anwar sebelum ini berkata, beliau telah menghubungi kedua-dua tokoh itu pada Khamis bagi mencari penyelesaian bagi konflik yang sedang berlaku.

Pertikaian sempadan antara Kemboja dan Thailand memuncak selepas anggota tentera kedua-dua negara terlibat dalam pertempuran pada pagi Khamis di kawasan Oddar Meanchey dan Preah Vihear.

Kedua-dua negara jiran itu telah lama bertelagah berhubung sempadan sepanjang 817km yang belum dimuktamadkan, menjejaskan hubungan diplomatik mereka.

BBerkaitan

Latest articles