KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bukan mudah untuk kerajaan menurunkan harga minyak RON95 walaupun hanya enam sen kerana perlu mengambil kira implikasi kewangan kepada negara.
Anwar, yang juga menteri kewangan, berkata beliau terpaksa mengambil masa beberapa hari untuk mengumumkan perkara tersebut kerana ia perlu dinilai dan dilihat secara teliti sebelum dihebahkan Rabu lepas.
“Kita turunkan harga minyak kepada RM1.99… ya memang negara seperti Thailand, Singapura sudah turun terlebih dahulu tetapi kita lebih rendah dan ini adalah untuk rakyat.
“Tak syukur, tak setuju tidak apa tetapi bukan mudah… sebab itu ambil masa kira berhari-hari, jadi jangan diremehkan benda ini… mereka kata beza enam sen tapi mereka tidak dengar penerangan,” katanya semasa berucap pada majlis peringatan Hari Antidadah di Dataran Darulaman.
Perdana menteri berkata ada pihak mempertikaikan kenapa kerajaan tidak memberi subsidi kepada warga asing namun beliau bertegas ia tidak perlu kerana mereka tidak membayar cukai kepada kerajaan.