SHAH ALAM: Seorang pegawai penguat kuasa ditahan reman selama lima hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor selepas disyaki menerima rasuah berjumlah kira-kira RM8,000 ketika bertugas di kaunter ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Perintah reman sehingga 29 Julai itu dikeluarkan oleh Majistret Zur Azureen Zainalkefli di Mahkamah Majistret Shah Alam semalam, selepas permohonan dibuat oleh pihak SPRM bagi membantu siasatan.
Menurut sumber SPRM, suspek lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan kira-kira jam 3 petang semalam di lokasi tempat dia bertugas.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai menerima wang rasuah semasa sedang bertugas, dan perbuatannya berjaya dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV),” kata sumber tersebut.
Tambahnya, pemeriksaan ke atas suspek menemukan wang tunai berjumlah lebih RM8,000 di dalam poket seluarnya. Wang tersebut dipercayai berkaitan dengan aktiviti ‘counter setting’, satu bentuk rasuah yang berlaku di kaunter ketibaan.
Sementara itu, Timbalan Pengarah SPRM Selangor, Khairul Izwan Karim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009,” katanya ringkas.
Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.