KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak kemungkinan pendirian tegas Malaysia yang mengutuk kekejaman rejim Zionis dan menyokong perjuangan rakyat Palestin menjadi antara punca negara ini menarik perhatian ejen perisikan Israel, Mossad.
Menurut Anwar, badan perisikan negara telah mengenal pasti kehadiran ejen asing tersebut dan beberapa tindakan proaktif sedang diambil oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memperkukuh keselamatan dalam negeri.
“Memang mereka ambil berat soal ini, terutama selepas terbukti kehadiran ejen Mossad dan penggunaan pasangan suami isteri Melayu sebagai individu yang bersekongkol dengan mereka,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Tambah beliau, KDN juga telah mengambil tindakan terhadap rakyat tempatan yang dikenal pasti terlibat atau bersekongkol dengan rangkaian ejen perisikan asing.
Anwar turut menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang membangkitkan isu kelemahan sistem keselamatan negara, termasuk kebimbangan terhadap kebocoran kawalan sempadan dan kegagalan sistem pagar automatik (autogate) di lapangan terbang.
Perdana Menteri memberi jaminan bahawa isu teknikal berkaitan autogate telah pun ditangani dan langkah pembaikan segera telah dilaksanakan.