KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan insiden kematian tragis seorang pelajar tingkatan satu, Zara Qairina, yang dikaitkan dengan dakwaan kes buli di sebuah sekolah di Sabah.
Menurut beliau, perkara itu kini berada dalam siasatan pihak berkuasa dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited untuk memberi kerjasama penuh kepada polis bagi memastikan kebenaran dapat ditegakkan.
“Saya menyeru semua pihak agar menghormati privasi keluarga dan memberi ruang kepada siasatan berjalan secara adil serta menyeluruh,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook rasmi hari ini.
Fadhlina memaklumkan bahawa beliau bersama Pengurusan Tertinggi KPM telah menziarahi keluarga Allahyarhamah Zara Qairina di hospital dan memastikan semua keperluan serta kebajikan keluarga terbela.
Selain itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah juga telah menghulurkan bantuan segera termasuk dari segi sokongan psikososial untuk ahli keluarga mangsa yang sedang berdepan ujian berat ini.
“Takziah saya ucapkan kepada seluruh keluarga. Semoga dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan yang amat menyayat hati ini,” tambahnya.
Insiden menyayat hati itu mula menjadi perhatian ramai selepas tular di media sosial dakwaan bahawa Zara Qairina menjadi mangsa buli sebelum terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I).
Mengulas spekulasi melibatkan unsur buli, Fadhlina menegaskan bahawa tindakan hanya akan diambil berdasarkan hasil siasatan rasmi pihak berkuasa.
“Tindakan sewajarnya akan diambil, namun kita mesti memberi ruang kepada pihak polis menyempurnakan siasatan terlebih dahulu,” katanya.