KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi menjangkakan Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah bakal menjadi penamat buat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri itu, susulan kemerosotan pengaruh dan kehilangan sokongan akar umbi.
Menurut Puad, parti itu kini ibarat “kapal yang mengecil dan hampir tenggelam” akibat lahir daripada tipu muslihat politik yang akhirnya memakan diri sendiri.
“Bersatu Sabah lahir hasil lompat parti secara senyap oleh sembilan ADUN, empat Ahli Parlimen, dua Senator serta 21 daripada 25 Ketua Bahagian UMNO Sabah.
“Namun kini, pemimpin-pemimpin inilah yang meninggalkan Bersatu dan menubuhkan pula Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Puad turut membuat perbandingan bagaimana UMNO Sabah ditubuhkan secara jujur dan mendapat sokongan akar umbi berbanding Bersatu yang didakwanya “lahir daripada pengkhianatan”.
“Almarhum Tun Mustapha pernah berkata, kami berpindah dari kapal kecil ke kapal besar apabila menyertai UMNO pada tahun 1991.
“Bersatu pula bermula dengan tipu helah. Sebab itu mereka gagal menggugat UMNO kerana hanya ketuanya yang lari, tetapi ahli akar umbi kekal setia,” tegasnya.
Mengulas lanjut, Puad berkata Bersatu kini ‘terkontang-kanting’ tanpa pelapis, jentera akar umbi dan tokoh lokal yang kuat, terutama selepas pemergian Datuk Seri Hajiji Noor yang menubuhkan parti GRS sendiri.
“Bersatu makin menggelupur bila Hajiji buat kapal baru. Mereka kini hilang arah.”
Kenyataan Puad ini hadir selepas Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini menyatakan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan GRS kerana menganggap gabungan itu telah mengkhianati Perikatan Nasional (PN).
Muhyiddin juga mendakwa GRS menggunakan nama yang dicadangkan olehnya semasa masih bersama PN, namun kemudian mendaftarkannya sebagai parti sendiri dan keluar dari gabungan tersebut.