Shafee Sangkal Dakwaan Najib Beri Keterangan Berbeza

KUALA LUMPUR: Pasukan peguam Datuk Seri Najib Razak akan mengemukakan hujahan lanjut bagi menolak dakwaan bahawa bekas Perdana Menteri itu memberikan lima versi berbeza mengenai wang ratusan juta ringgit yang masuk ke dalam akaun peribadinya.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, sepanjang perbicaraan kes saman SRC International Sdn. Bhd. di Mahkamah Tinggi, Najib konsisten menafikan wang tersebut datang daripada syarikat berkenaan.

“Najib secara jelas menyatakan wang itu disangkanya adalah derma daripada Arab Saudi. Beliau tidak pernah kata itu duit SRC,” katanya pada sidang media selepas prosiding penghujahan hari ini.

Bagaimanapun, peguam mewakili SRC International, Datuk Lim Chee Wee semalam berhujah sebaliknya.

Dakwanya, Najib kerap menukar keterangannya, dengan memberi sekurang-kurangnya lima versi berbeza apabila ditanya mengenai dana AS$120 juta (sekitar RM550 juta) yang dikreditkan ke akaunnya.

Antaranya, Najib didakwa menafikan terima wang dari SRC, mendakwa ia derma Arab Saudi, mendakwa akaunnya tidak diurus sendiri, serta menegaskan wang itu hanya untuk tujuan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Kes saman ini difailkan SRC pada Mei 2021 atas dakwaan Najib telah melakukan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa, memperoleh ganjaran peribadi daripada dana syarikat dan menyeleweng dana syarikat.

SRC juga mahu mahkamah mengisytiharkan Najib bertanggungjawab terhadap kerugian yang ditanggung syarikat dan mengarahkannya membayar balik RM42 juta.

Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin menetapkan 25 Ogos ini bagi menyambung sesi penghujahan kes berprofil tinggi ini.

BBerkaitan

Latest articles