SPRM Mohon Lucut Hak Wang Tunai RM169 Juta, Jongkong Emas 16kg Milik Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfailkan permohonan melucut hak aset itu di Mahkamah Sesyen berhubung harta mewah bernilai ratusan juta ringgit milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Permohonan itu difailkan oleh pihak pendakwa raya dengan menamakan Ismail Sabri dan bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus, masing-masing sebagai responden kedua dan pertama.

Antara aset yang mahu dilucuthakkan ialah wang tunai dalam pelbagai mata wang tempatan dan asing termasuk RM14.7 juta, SGD$6.1 juta (RM21.6 juta), USD$1.46 juta (RM6.9 juta), CHF 3 juta (RM15.5 juta), €12.1 juta (RM61 juta), ¥363 juta (RM12 juta), £50,250 (RM302,000), NZ$44,600 (RM125,000), AED34.7 juta (RM43 juta) dan AU$352,850 (RM1 juta).

Permohonan melucut hak ini dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta SPRM 2009 selepas agensi itu yakin wang tersebut adalah milik Ismail Sabri dan mempunyai kaitan dengan kesalahan di bawah Seksyen 36(2) akta sama.

SPRM turut memohon mahkamah mengeluarkan apa-apa perintah lain yang difikirkan sesuai.

Pada 25 Jun lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, memaklumkan aset bernilai kira-kira RM170 juta dan 16 kilogram jongkong emas ditemui dalam safehouse yang dikaitkan dengan Ismail Sabri bakal dilucuthakkan.

Dalam sidang media Mac lepas, SPRM mempamerkan wang tunai dalam pelbagai mata wang antarabangsa serta jongkong emas bernilai hampir RM7 juta.

Rampasan itu dibuat dalam serbuan ke atas tiga premis termasuk sebuah safehouse rahsia.

Azam turut mengesahkan siasatan terhadap Ahli Parlimen Bera itu telah selesai dan kini hanya menunggu tindakan lanjut daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk pertuduhan berkaitan jenayah rasuah dan pengubahan wang haram.

BBerkaitan

Latest articles