Kejelasan Dasar dan Kestabilan Politik Tarik Minat Pelabur ke Malaysia – Fahmi

GENEVA -Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil menegaskan bahawa kejelasan dasar serta kestabilan politik yang ditunjukkan Kerajaan MADANI merupakan antara faktor utama yang menarik minat pelabur asing untuk melabur di Malaysia.

Beliau berkata, pelbagai dasar seperti Rancangan Malaysia, Kerangka Ekonomi MADANI, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan persekitaran pelaburan yang konsisten dan meyakinkan.

“Kejelasan dan kestabilan dasar ini menjadi daya tarikan utama kepada pelabur. Mereka yakin bahawa dasar-dasar ini tidak akan berubah secara sewenang-wenangnya,” katanya.

Tambah beliau, data pelaburan yang diumumkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) juga menunjukkan keyakinan berterusan pelabur asing terhadap Malaysia. Untuk suku pertama 2025, Malaysia mencatatkan RM89.8 bilion pelaburan diluluskan, meningkat 3.7% berbanding tahun lalu, meskipun berdepan cabaran ekonomi global.

Fahmi berkata demikian semasa sesi pertemuan bersama kira-kira 50 rakyat Malaysia di Rumah Malaysia, Geneva, yang terdiri daripada komuniti diaspora, pelajar, dan pegawai Malawakil Malaysia. Turut hadir ialah Wakil Tetap Malaysia ke PBB Geneva, Datuk Nadzirah Osman.

Dalam sesi tersebut, Fahmi turut berkongsi kemajuan sektor komunikasi negara.

“Malaysia kini antara 10 negara dengan harga internet termurah di dunia, dan memiliki internet kedua terpantas di Asia Pasifik selepas Korea Selatan,” jelas beliau.

Datuk Nadzirah menyifatkan pertemuan ini sebagai ruang berharga bagi rakyat Malaysia di Geneva untuk berinteraksi secara langsung dengan menteri serta mengikuti perkembangan semasa di tanah air.

Sementara itu, Presiden Persatuan Malaysia Geneva, Syakira Ramli, berkata pelbagai topik turut disentuh dalam sesi dialog, termasuk cadangan untuk Malaysia meneladani kemajuan Switzerland dalam aspek teknologi, pentadbiran dan pendidikan.

Manakala Ketua Bahan Api Komersial di IATA, Malvyn Tan, menyambut baik keterbukaan Fahmi dalam menerima pandangan dan berkongsi perkembangan terkini negara:

“Kami rasa sangat selesa kerana beliau sangat terbuka dan responsif terhadap pandangan diaspora.”

YB Fahmi kini berada di Geneva mengetuai delegasi Malaysia ke World Summit on the Information Society+20 High-Level Event (WSIS+20) dari 7 hingga 11 Julai, sebagai sebahagian daripada komitmen Malaysia memperkukuh ekosistem komunikasi digital negara sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

BBerkaitan

Latest articles