KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan kewujudan Gerakan Militan Radikal Bangladesh (GMRB) yang giat menyebarkan fahaman radikal dan ekstremis dalam kalangan warga Bangladesh yang bekerja di negara ini.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, kegiatan sindiket ini dikesan menggunakan platform media sosial seperti Facebook, serta aplikasi WhatsApp dan Telegram untuk mempromosikan ideologi ganas sejak setahun lalu.
“Mereka menggunakan media sosial untuk menarik penyokong baru. WhatsApp dan Telegram pula dijadikan medium bagi proses baiah, merancang aktiviti rahsia termasuk sesi taklimat serta perjumpaan ahli,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.
Menurutnya, ahli yang melafazkan baiah secara dalam talian akan dilantik menjadi ketua kepada sel baharu bagi memperluaskan pengaruh gerakan tersebut.
Terdahulu, pada 27 Jun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan kejayaan PDRM menumpaskan rangkaian militan itu menerusi penahanan 36 warga Bangladesh yang dipercayai terlibat secara langsung.
Sebahagian daripada mereka kini disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Tambah Mohd Khalid, gerakan ini turut mengutip dana menggunakan aplikasi Touch ‘n Go, BCash dan perkhidmatan kiriman wang antarabangsa.
“Dana yang dikumpul disalurkan ke Syria, IS (Daesh) dan juga Bangladesh. Kita masih dalam proses siasatan bagi mengenal pasti jumlah tepat serta individu terlibat,” katanya.
Jelasnya, untuk menjadi ahli kumpulan ini, seseorang perlu membayar kira-kira RM500 setahun, manakala sumbangan bulanan ahli yang dikesan sebelum ini antara RM100 hingga RM150, bergantung kepada kemampuan mereka.
Setakat ini, Khalid memberi jaminan bahawa gerakan ini tidak melibatkan rakyat Malaysia.
“Propaganda mereka hanya tersebar dalam kalangan warga Bangladesh di Malaysia yang bekerja dalam sektor buruh seperti di kilang, tapak binaan dan perkhidmatan,” katanya.
Beliau pada masa sama menegaskan, pihak polis komited untuk memantau dan mengambil tindakan tegas bagi memastikan Malaysia tidak dijadikan lokasi penyebaran fahaman ekstremis.