Peniaga Nasi Lemak Didakwa Rogol Anak Kekasih

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga nasi lemak warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesysen Ampang, hari ini atas pertuduhan merogol anak teman wanitanya yang berusia 12 tahun pada pertengahan tahun lalu.

Manakala wanita itu yang merupakan ibu kandung mangsa dan bekerja sebagai pengawal keselamatan didakwa atas pertuduhan bersubahat dengan lelaki itu terhadap kesalahan yang sama, demikian memetik laporan Malaysia Gazette.

Kedua-dua tertuduh, Azman Hasim, 61 dan teman wanitanya, 37, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norshila Kamarudin.

Mengikut kertas pertuduhan, Azman didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan yang ketika itu berusia 12 tahun empat bulan di sebuah kediaman Taman Seraya, dalam daerah Hulu Langat kira-kira jam 4 petang pada pertengahan 2024.

Pendakwaan dikemukakan di bawah Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376(1) kanun yang sama.

Sementara itu, ibu kandung mangsa didakwa bersubahat dengan Azman merogol anak kandungnya pada hari dan tempat sama, yang mana kesalahan berkenaan dilakukan hasil persubahatannya.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dibawah Seksyen 376(1) Kanun yang serupa.

Kedua-dua tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan dihukum dengan sebatan, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairuliqram Hairuddin tidak menawarkan sebarang jaminan ke atas kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam.

“Kita khuatiri akan berlaku gangguan ke atas mangsa yang tinggal sebumbung bersama ibu kandungnya, selain Azman mempunyai hubungan dengan wanita terbabit.

“Bagaimanapun, pihak pendakwaan difahamkan kanak-kanak itu kini menetap dengan ibu saudaranya,” jelasnya.

Hakim Norshila kemudian tidak memberikan sebarang jaminan ke atas kedua-dua tertuduh dan menetapkan 7 Ogos depan sebagai sebutan kes bagi serahan dokumen serta lantikan peguam.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki bersama teman wanitanya ditahan disyaki terlibat kes merogol seorang remaja perempuan merupakan anak wanita itu di sebuah rumah di Pandan Indah.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, mahu memenuhi keinginan teman lelaki dipercayai menjadi punca wanita terbabit tergamak membiarkan anaknya dirogol.

Katanya, siasatan mendapati mangsa ketakutan sebelum bertindak keluar rumah setelah mendapati satu perbualan antara ibu dan teman lelaki ibunya untuk berjumpa di sebuah hotel di ibu negara.

Tambah beliau, mangsa juga pernah dirogol oleh teman lelaki ibunya pada tahun 2024, dan kejadian itu turut disaksikan ibunya sendiri.

BBerkaitan

Latest articles